logo
logo

ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR ROTARY-ITE

Monday, 13 November 2017

Club Name: Rotary Club of Bugis Junction

Overview:

Semangat mahu berubah, beri sumbangan bahawa ganjaran

DARI seorang remaja yang memberontak jiwanya dek salah pergaulan sehingga menjual rokok elektronik dan diberi amaran keras pengetua, Encik Muhammad Shazuan Shiraj Abdullah kini gigih ‘menyumbang kepada masyarakat.

UBAH DIRI DENGAN SUMBANGAN BERMAKNA: Dua pelajar ITE, Encik Muhammad Shazuan Shiraj Abdullah dan Cik Nur Afaf Rusydah Mohammad Taha, menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar Rotary-ITE kerana daya kepimpinan, kerja kemasyarakatan, budaya kerja dan keperibadian positif yang boleh diteladani belia lain. – Foto ITE

Beliau antara penggerak program derma agih makanan dan keperluan dapur, Projek Ihsan, kendalian sayap belia Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra).

Encik Muhammad Shazuan, 18 tahun, yang mengikuti kursus Nitec dalam Jagaan Kemasyarakatan dan Khidmat Sosial di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, juga adalah pemidato hebat.

Beliau satu-satunya pelajar ITE yang menjadi wakil sekolah dan kemudian meraih gelaran Naib Juara di Peraduan Pidato YMCA, Plain English Speaking Awards (Kategori Posmenengah), menandingi pelajar peringkat prauniversiti dan politeknik.

Hasil kecemerlangan menyeluruhnya dalam bidang akademik, kerja kemasyarakatan, budaya kerja, daya kepimpinan dan sikap peribadi, anak ketiga dalam empat beradik itu diiktiraf dengan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Rotary-Institut Pendidikan Teknikal (ITE) kelmarin.

Encik Muhammad Shazuan menerima anugerah tersebut bersama 11 pelajar lain di majlis yang berlangsung di Hotel Jen (Tanglin).

Turut diraikan adalah kerjasama 20 tahun Kelab Rotary Bugis Junction bersama ITE dalam menyampaikan anugerah pembakar semangat buat pelajar HE yang menampakkan potensi menyeluruh.

Seramai 217 pelajar ITE telah meraih manfaat daripada anugerah tersebut sepanjang dua dekad.

Ketika dihubungi, Encik Muhammad Shazuan berkata: “Saya dipindahkan daripada aliran Ekspres ke aliran Normal (Akademik) kerana pelajaran saya merosot ketika semua masalah berlaku serentak, mencelarukan fikiran saya.

“Ibu bapa saya berpisah, saya dibuli di sekolah, kami berpindah dari flat maisonet ke flat sewa dan hidup dalam keadaan kesempitan wang dan ruang tempat tinggal.

“Apabila saya berpindah sekolah kerana tidak tahan dibuli, saya pula bergaul dengan pelajar kaki berontak yang mempengaruhi saya ke arah perkara negatif. Nak dapat duit lebih, saya jual rokok elektronik sampai di-tangkap guru.”

Namun, keinginan berubah dirasakan melihatkan ibunya, Cik Farhana Ibrahim, 47 tahun, bertungkus-lumus membantu orang lain di sebuah pusat khidmat keluarga.

“Ibu sendiri hidup susah tetapi beliau selalu kata, ada orang lain lebih susah daripada kita. Itulah yang membuatkan saya tertarik menawarkan khidmat sukarela demi meringankan bebanan golongan memerlukan,” katanya.

Seorang lagi penerima anugerah, Cik Nur Afaf Rusydah Mohammad Taha, 18 tahun, pelajar Nitec dalam Teknologi Kemudahan (Khidmat Landskap) di ITE Kolej Timur, pula berkata:

“Khidmat kemasyarakatan itu tidak memberatkan kerana dengan sumbangan kecil sahaja, anda boleh membawa perbezaan besar dalam hidup orang lain.

“Sebagai Presiden Kelab Rotaract di ITE Kolej Timur, saya teruja menggerakkan projek kraftangan barangan terpakai.

“Apabila saya ke Filipina dan melihat kemiskinan di sana, minda saya lebih terbuka tentang kemanusiaan. Di sebalik kemiskinan mereka, budi pekerti mereka yang menghargai orang lain tersemat di hati saya.”

(Berita Harian)